Latest Entries »

hari ini, 18 February

entah mengapa tiba tiba rasa tergerak pulak nak post something kat sini. Yela, dah lama tak update berikutan minggu cuti yang lalu. Bila dah bukak, blur pulak..tak tau nak tulis apa. huh!

Jumaat merupakan hari cuti bagi kami kat negeri Kedah ni. Untuk hari ni aku sudah menggerakkan diri untuk menyiapkan tugasan ( gerak je ). Sepanjang hari ni, mengadap laptop aje koje aku..

Dah masyuk?

“PTPTN dah masuk!”. hari ini 28hbln telah memberikan nafas segar buat student2 U.

Awal-awal pagi lagi sudah kedengaran kekecohan. Mereka bergegas mengeluarkan wang masing2 untuk pelbagai tujuan. Saat ni ku rasakan seperti suatu kelegaan kerana kantung sedia ada hampir kering. Aahhh…dah confirm la mesin ATM kat mall tu dah kering dek kerana bebudak nih.

Tak mengapalah, simpan je duit ni dulu. Lagi pun aku takde la sesak sangat nak pakai duit. Balik cuti ni ingat nak belanje adik kat rumah tu. hehehehe… Neway, berbelanja lah dengan bijak!

waduh, bisa capek gue macam ini

hohoho. Bagi sem ini bahasa indonesia akan selalu bermain di fikiran dan ingatan serta menjadi sebutan dibibirku. Bukan sebab aku belajar bahasa indon, tapi pengajar @ lecturer di import khas dari seberang sana. Memang..menjadi bualan rakan-rakanku, semakin ramai lecturer indonesia diambil untuk memberi lecture di sini. Sebab ape? itu tak pasti la, kene tanya pihak atasan.

diorang ni bukan sembarangan orang. semuanya mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Lecturer yang ngajo aku tu sorang Professor Dr. Hasan Basri, sorang lagi Doktor Abdullah. Dah jadi satu koje nak paham bahase Indon pulak, kalo cakap bahase indon je takpe la macam si professor tu. Yang sorang lagi ni pulak dok cakap indon mix inggeris. Kalau language beliau ok takpe la jugak ni tak.

kata kengkawan, lecturer luar senang nak bagi markah. Tapi tak tahu la betul ke tidak. Yang pasti setiap daripada mereka akan memperkatakan dan memberi komen pasal Malaysia. Tambah lagi kalau ada topik yang masuk pasal perbandingan antara negara.

Secara keseluruhan setakat ni, diorang berbangga duduk kat negara kita. Tak habis-habis mengatakan kesyukurannya. Neway, harap diorang akan terus sukses dalam membantu pelajar-pelajar tempatan. Harapan aku mestilah dapat skor paper diorang ajar ni…hehehe

 

 

Permulaan yang hampa

guess what! minggu pertama kat kampus dah memenatkan diriku. sungguh tak di duga langsung.

harapkan bila pulang ke sini dapat la rileks2 dlu. tapi, dengan keadaan addrop subject yang kelam kabut, loan PTPTN tak masuk lagi, tambah menghampakan diri pula..first day class dah dapat esaimen!

aduus!

 

tapi tak mengapa la. semua ni sudah biasa ku tempuh pada masa2 yang lalu. tambahan lagi diriku kini sudah di akhir semester. cabaran seperti ini adalah lumrah untuk ditempuhi.

yang penting..selalu ingat pesan mak dan ayah, menginginkan anak mereka grad dengan jayanya.

InsyaAllah.

Oleh ROHAMI SHAFIE dari Utusan Online

 

SEJAK kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan istilah transformasi. Terbaru, istilah transformasi digandingkan dengan istilah sosial, maka lahirlah Transformasi Sosial (TS). Istilah-istilah ini cukup membuatkan sesiapa sahaja teruja. Namun, sejauh manakah kesemuanya ini difahami adalah satu perkara yang perlu diberi keutamaan. Mana mungkin ia dapat dihayati dan diamalkan dengan baik melalui pelaksanaan dasar jika tidak terlebih dahulu difahami.

TS yang baru diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lalu merupakan satu lagi transformasi yang boleh mengubah struktur ekonomi dan kemakmuran negara ke landasan yang terbaik. Ia memerlukan satu anjakan paradigma dan juga perubahan budaya secara menyeluruh terutamanya perubahan ke arah bekerja dengan lebih produktif, berinovasi dan menerapkan elemen kreativiti.

Sebelum ini, kita berpegang pada Dasar Pandang ke Timur berasaskan negara Jepun. Soalnya, adakah dasar ini berjaya dilaksanakan di Malaysia bagi mengubah budaya kerja rakyat Malaysia sebagaimana rakyat Jepun? Begitu juga, kegigihan rakyat negara Korea juga boleh dijadikan contoh bagi mengubah sikap rakyat Malaysia.

Suatu ketika dahulu, Korea terpaksa meminjam wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Bagaimana mereka bangkit semula selepas itulah yang perlu dihayati oleh rakyat Malaysia. Tidakkah ini menggambarkan perubahan sosial yang berjaya dilaksanakan oleh mereka. Tidak guna bercakap mengenai istilah sahaja jika tidak dihayati. Kita mungkin boleh mempunyai satu dasar terbaik, tetapi dasar hanya tinggal dasar jika tidak dilaksanakan dan diamalkan dengan baik.

Kita tidak boleh lagi menunggu sahaja. Ia akan membuatkan kita akan lebih ketinggalan jauh berbanding negara lain. Kita perlukan satu perubahan sosial yang lebih positif bermula dengan perubahan minda dan disusuli dengan perubahan sikap. Kita tidak boleh membuang masa dengan membicarakan perkara-perkara remeh yang tidak memberi apa-apa erti. Pertelingkahan sesama sendiri mengenai perkara-perkara sebegini akan membantutkan lagi agenda negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Kita perlu membudayakan minda positif dalam masyarakat dan membicarakan mengenai perkara-perkara yang lebih positif ke arah sikap yang lebih baik. Dengan kata lain, negara memerlukan rakyatnya yang berfikiran positif untuk mengorak ke hadapan. Barulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku akan beransur-ansur hilang. Umpamanya, gejala sosial hari ini mampu diatasi jika kita dapat mencantas simptom-simptomnya dari awal lagi. Bentuk satu budaya yang baik melalui pemikiran yang positif kepada anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala sosial. Sudah tentu sistem pendidikan memainkan peranan terpenting. Tidak kiralah pendidikan secara formal mahupun tidak, kedua-duanya penentu kepada sikap generasi muda.

Kenapakah isu-isu mengenai masalah sosial ini tidak pernah luput dalam perbincangan sehingga kini? Ini kerana, tiada satu transformasi sosial yang dilaksanakan dengan begitu mantap melalui pelaksanaan dari peringkat atasan sehingga bawahan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja baik untuk diri sendiri tetapi juga baik untuk orang lain. Barulah boleh kita bercakap mengenai jati diri yang kukuh kepada negara.

 

movie marathon

dah dua hari menapak kat uum ni. hari ni boring sangat sebab takde kelas. esok pulak baru ade. so, duduk kat bilik habiskan mase tengok Cuti-Cuti Cinta..layan la jugak, hehehe…

 

habis je, terus sambung Aku Masih Dara..lebih nak sama macam Syurga Cinta je citer nih. tapi takpe, demi merawat keboringan di jiwa ni..tetap ku layan jugak..hehehe…

marathon muvee terus di sambung dengan citer estet. tapi terhenti di tengah jalan sebab kebosanan di situ. citer ni best, jalan citer pun sedap jugak…it’s okay next time sambung balik la tgk citer nih..

kredit kepada member aku, che wan sebab download sume nih :-)

Mencari makna serumpun

HAKIKAT bahawa pihak ketiga turut mempengaruhi dalam citra hubungan antara Malaysia dan Indonesia barangkali sudah dipersetujui secara meluas oleh pemerhati hubungan antara kedua-dua negara berjiran ini. Pihak ketiga itu boleh menjadi sebuah negara, seorang individu, pertubuhan-pertubuhan di sebalik pelbagai nama, atau pihak tidak kelihatan yang bergerak di alam maya.

Siapa pun mereka, pihak ketiga ini boleh dianggap berjaya mengeruhkan ikatan ‘adik- beradik’ yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia seperti yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini. Kehadiran pihak ketiga itu sekali lagi disebut pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena, Sabtu lalu.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu membariskan dua tokoh yang tidak asing lagi dalam kajian sosial dan kebudayaan Malaysia-Indonesia. Mereka ialah Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula bertindak sebagai pengerusi. Memperkukuhkan teori kehadiran pihak ketiga itu seperti yang ditegaskan oleh Zainal Abidin ialah kerana rasa bimbang dan cemburu dengan keakraban Malaysia-Indoensia yang sudah terikat secara sejarah panjangnya.

Kebimbangan itu berasaskan kepada dua faktor utama iaitu kebangkitan Islam dan pengukuhan kuasa ekonomi di rantau ini yang disumbangkan menerusi jalinan hubungan Malaysia-Indonesia. Sebagai sebuah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia sering menjadi rujukan dalam banyak perkara berkaitan perkembangan Islam.

Dalam masa yang sama, kesederhanaan Islam di Malaysia pula telah melonjak negara ini sebagai sebuah negara Islam moden yang cukup disegani. Acap kali juga disebut, kebangkitan Islam dalam dekad mendatang tidak mustahil boleh terjadi dari sebelah rantau ini. Dengan kekuatan Islam di Malaysia dan Indonesia, kebangkitan itu mungkin menjadi lebih cepat menerusi keakraban dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara ini.

Kemungkinan inilah yang tidak disenangi oleh pihak ketiga yang boleh jadi sebuah negara di rantau Asia Tenggara ini. Kebimbangan lain ialah dari sudut kekuasaan ekonomi. Perlu diketahui Indonesia merupakan antara negara yang sedang mengalami pertubuhan ekonomi yang luar biasa ketika ini. Negara ini merupakan antara sebuah daripada lima buah negara yang dikelompokkan sebagai BRIIC iaitu negara-negara yang bakal menguasai ekonomi dunia. Negara lain ialah Brazil, Rusia, India dan China.

Malaysia pula meskipun tidak termasuk dalam kelompok itu tetapi pertumbuhan pesat ekonomi kita sememangnya dicemburui negara-negara membangun lain sejak sekian lama. Kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam situasi ekonomi kedua-dua buah negara ketika ini dengan mudah boleh menenggelamkan kekuatan ekonomi negara-negara lain. Selain sebuah negara, pihak ketiga yang dirujuk sebagai individu juga banyak menyumbang dalam keretakan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Dengan pengaruh yang ada, individu ini sengaja mencetuskan ketegangan untuk meraih sokongan luar dan mengalihkan isu yang sedang dihadapi dalam negara. Begitu pun pengaruh individu ini bukanlah sesuatu yang serius kerana seperti mana di Malaysia, sokongan terhadap individu itu di Indonesia juga sudah semakin pudar. Namun dalam menuding jari kepada pihak ketiga di sebalik keretakan hubungan Malaysia-Indonesia, faktor masalah dalaman antara kedua-dua negara juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Hakikatnya dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara, terdapat beberapa isu yang telah mewujudkan suasana tidak harmoni dan sangat ketara sejak 2003. Antaranya isu perselisihan pulau Sipadan-Ligatan yang akhirnya menjadi milik Malaysia serta kes perebutan wilayah di sekitar Ambalat yang masih lagi berpanjangan. Begitu juga dengan isu tarian tradisional pendet yang didakwa dicuri Malaysia sehingga mencetuskan gelombang kemarahan di Indonesia tahun lalu. Isu-isu lain seperti penderaan ke atas pembantu rumah dan provokasi menerusi alam siber menerusi laman web seperti ‘I hate Indon’ dan Malingsia.

Kemuncaknya ialah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF bulan lepas yang tidak lagi dilihat dari sudut semangat kesukanan. Sebaliknya satu pertarungan mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa serta negara. Dari sudut hubungan antara pemerintah, isu-isu ini mungkin tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan dan menerusi semangat diplomatik. Tetapi di kalangan rakyat, mereka tidak melihat isu ini dari sudut yang rasional, sebaliknya lebih kepada emosional.

Ini jugalah faktor yang menyebabkan mengapa kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) sanggup memenuhi jalan raya di Jakarta dengan buluh runcing memburu rakyat Malaysia seperti yang berlaku baru-baru ini. Apa yang berlaku itu membayangkan kelemahan kedua-dua negara dalam menerapkan semangat setiakawan di kalangan rakyat. Kita sering menyebut bahawa orang Melayu Malaysia dan Indonesia itu adalah serumpun dan saudara sebangsa. Tetapi apa pula usaha kita dalam menyemai semangat bersaudara itu? Kerana pada hakikatnya di kalangan rakyat kedua-dua negara terutama di kalangan generasi muda, semangat itu boleh dikatakan langsung tiada.

Forum sebegini mungkin boleh menjadi salah satu usaha memupuk kembali semangat seperti itu. Tetapi kelompok sasarannya sangat terhad dan kehadirannya pula lebih banyak dari kalangan ahli akademik yang sudah sedia maklum mengenai sejarah perkongsian budaya antara dua negara. Perlu ada usaha yang lebih besar seperti memperkayakan hubungan kebudayaan antara negeri dan provinsi yang mempunyai kaitan sejarah secara langsung. Kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu diperhebat kerana pergerakan seumpama itu lebih dekat dengan rakyat. Begitu pun ada sesuatu yang menarik disentuh oleh Amri yang juga merupakan ahli sosiologi Indonesia.

Katanya, perbincangan mengenai hubungan antara orang Melayu Indonesia dan orang Melayu Malaysia tidak dapat dituntas dengan mendalam kerana kedua-dua belah pihak mentakrifkan Melayu secara berbeza. Di Malaysia katanya, Melayu itu didefinisikan sebagai ras, etnik dan agama. Seperti yang disebut oleh Perlembagaan, orang Melayu di Malaysia ialah seorang Islam, lazim bercakap Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Sedangkan di Indonesia, seluruh bangsa Indonesia itu adalah ras Melayu tanpa mengira agama, adat dan bahasa lazimnya. Maka Melayu di Malaysia itu tidak sama seperti Melayu di Indonesia. Kerana itu juga, semangat serumpun tidak begitu terasa di kalangan rakyat apabila mereka tidak lagi melihat Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia itu adalah bersaudara.

Perkara ini perlu diperhalusi oleh ahli sejarah kerana pemahaman sebegini sebenarnya sangat berbahaya lebih-lebih lagi dalam suasana perhubungan antara rakyat kedua- dua negara yang keruh ketika ini. Sekiranya pemahaman ini dibiarkan berkembang dalam pemikiran generasi muda kedua-dua negara, maka perkataan serumpun yang sering digunakan untuk menggambarkan ikatan saudara antara kita tidak lagi mempunyai makna.

artikel dari utusan malaysia 18 January 2011

Persediaan hadapi krisis tenaga

“NEGARA mungkin akan berhadapan dengan krisis tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.” Kenyataan tersebut bukanlah suatu omongan kosong. Tetapi, ia merupakan hakikat yang mungkin bakal kita hadapi jika terus bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan api fosil seperti arang batu, gas dan petroleum bagi menjana tenaga elektrik tanpa berusaha meneroka dan membangunkan alternatif lain sebagai penimbal kepada sumber tenaga berkenaan.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga dengan meneroka sumber-sumber tenaga lain yang lebih mesra alam bagi menggantikan sumber tenaga yang sedia ada. Kita seharusnya realistik bahawa penerokaan alternatif lain bagi menjana elektrik bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan satu keperluan memandangkan sumber tenaga utama kita pada hari ini semakin menyusut. Bukan itu sahaja, bahkan bekalannya yang tidak menentu dan tertakluk kepada permintaan serta spekulasi pasaran akan menyebabkan tarif elektrik sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil.

Selain itu, desakan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dengan kadar segera juga adalah rentetan daripada kesedaran bahawa sumber tenaga sedia ada telah banyak memberi dampak negatif terhadap alam sekitar. Antaranya, ia merupakan penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran melalui pembebasan gas karbon dioksida dan monoksida yang seterusnya membawa kepada kecelaruan iklim dan pemanasan global pada hari ini. Lebih buruk lagi apabila situasi iklim yang tidak stabil memungkinkan berlakunya lebih banyak bencana alam di serata dunia yang akhirnya akan turut menggugat tahap keselamatan seluruh makhluk yang menghuninya.

Jika negara masih terus bergantung kepada bahan api fosil semata-mata tanpa sebarang tindakan dilakukan daripada sekarang, kita pastinya sedang mengorak langkah untuk berhadapan dengan krisis tenaga bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Ini memandangkan, pada hari ini didapati 100 peratus daripada bekalan arang batu untuk kegunaan Semenanjung Malaysia adalah diimport dari beberapa negara seperti Indonesia, Australia dan negara lain. Manakala, sebanyak 25 peratus bekalan gas pula adalah diperolehi dari Thailand dan Indonesia. Kebergantungan kepada negara lain untuk memperolehi sumber-sumber berkenaan sudah jelas memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ambang kepupusan sumber fosil bagi penjanaan elektrik.

Sampai bilakah kita ingin bergantung kepada negara-negara terbabit bagi mendapatkan sumber-sumber tersebut? Ini memandangkan, lama-kelamaan sumber berkenaan di negara terbabit juga akan kehabisan. Adakah kita hanya mahu menunggu dan melihat sahaja tanpa mengambil sebarang inisiatif dengan mempergiatkan lagi usaha ke arah meneroka sumber tenaga alternatif lain bagi menggantikan sumber berkenaan?

Oleh yang demikian, persediaan bagi menghadapi krisis tenaga perlu dilaksanakan secara bersepadu agar satu keputusan dapat dicapai bagi mempelbagaikan sumber tenaga. Dari segi jenis tenaga apa yang praktikal untuk dibangunkan di Malaysia, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh dan perlu diperhalusi sehingga ke akar umbi agar tenaga yang dibangunkan kelak tidak mengundang sebarang implikasi negatif di kemudian hari baik terhadap risiko keselamatan rakyat mahupun terhadap alam sekitar seluruhnya. Atau dengan lain perkataan, pertimbangan sewajarnya perlu diambil kira agar tenaga yang bakal dibangunkan dapat memberi impak paling minimum ke atas alam sekitar, risiko keselamatan yang rendah kepada rakyat dan kos yang harus ditanggung oleh setiap isi rumah juga adalah minimum.

Misalnya, kerajaan sebelum ini ada mengumumkan akan membangunkan loji jana kuasa nuklear pertama negara pada tahun 2021. Pembangunan teknologi nuklear tersebut dijangka dapat menampung keperluan tenaga yang mencukupi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan negara pada masa akan datang. Namun demikian, pengendalian rektor nuklear yang begitu kompleks agak menggusarkan kita terutamanya dari segi risiko keselamatan rakyat. Ini memandangkan, banyak tragedi yang melibatkan kemalangan di loji nuklear telah berlaku sebelum ini.

Tragedi terakhir ialah letupan rektor nuklear yang berlaku pada tahun 1986 di Chernobyl, Soviet Union. Tragedi tersebut telah menyebabkan kehidupan 9 juta penduduk terjejas teruk. Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini agar satu keputusan yang tepat diambil bagi mengelakkan kemungkinan tragedi seumpama itu berulang.

Memang tidak dinafikan bahawa keselamatan rektor nuklear boleh dipertingkatkan lagi tahap kecekapannya sehingga boleh mencapai 100 peratus. Bahkan, penyelidikan dari masa ke semasa telah dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan di loji nuklear. Namun, kita harus akui bahawa kecekapan pengendalian peralatan oleh manusia tidak akan mampu mencapai 100 peratus. Oleh yang demikian, risiko berlakunya letupan atau kemalangan tetap ada walaupun kecil.

Justeru, dalam melaksanakannya ia perlu mengambil kira pertimbangan daripada semua aspek agar keputusan yang dibuat kelak tidak mengundang musibah kepada kita di kemudian hari. Sedangkan, langkah mempelbagaikan sumber tenaga tidak hanya terhad kepada opsyen nuklear sahaja. Sebaliknya masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh dimajukan untuk menjana tenaga elektrik terutamanya tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga solar, angin, kuasa hidro elektrik, bio-fuel, geo-terma, ombak dan sebagainya.

Dalam situasi di Malaysia, tenaga solar juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan bagi menjamin keselamatan tenaga. Selain daripada selamat, sumber tenaga berkenaan juga bersih, banyak, berkekalan dan tidak dipengaruhi oleh politik antarabangsa. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan sistem tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif untuk tempoh tujuh atau lapan tahun daripada sekarang merupakan usaha yang wajar diperhalusi dan difikirkan secara serius.

Walaupun pada masa ini kos membeli tenaga solar masih lagi tinggi, namun usaha ke arah itu masih boleh dipertimbangkan. Kajian dan penyelidikan secara terperinci terutamanya dari segi usaha mengurangkan kos pelaksanaannya perlu difikirkan. Ini bagi memastikan matlamat kerajaan untuk merealisasikan pembangunan tenaga berkenaan mampu dilaksanakan untuk tempoh tersebut tanpa mengabaikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi kos yang harus dipikul oleh mereka.

Ini penting kerana dalam membangunkan sumber tenaga alternatif, semua aspek perlu diteliti agar kemajuan yang dikecapi kelak turut mengambil kira kepentingan semua pihak, baik kepentingan rakyat, ekonomi mahupun alam sekitar. Pilihan sama ada baik ataupun sebaliknya adalah terletak di tangan kita. Justeru, ‘tepuk dada, tanya selera’.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia

artikel dari Utusan Malaysia Online, 26 November 2010

salam pengenalan

tujuan memulakan wordpress ni sebab merupakan antara yang best daripada blogspot, lagi satu wordpress ni update dalam banyak ciri dan lebih sistematik.

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.